Suatu hari ketika Imam Abu Hanifah sedang berjalan-jalan melalui sebuah
rumah yang jendelanya masih terbuka, terdengar oleh beliau suara orang
yang mengeluh dan menangis tersedu-sedu. Keluhannya mengandungi
kata-kata, "Aduhai, alangkah malangnya nasibku ini, agaknya tiada
seorang pun yang lebih malang dari nasibku yang celaka ini. Sejak dari
pagi lagi belum datang sesuap nasi atau makanan pun di kerongkongku
sehingga seluruh badanku menjadi lemah longlai. Oh, manakah hati yang
belas ikhsan yang sudi memberi curahan air walaupun setitik."
Mendengar
keluhan itu, Abu Hanifah berasa kasihan lalu beliau pun balik ke
rumahnya dan mengambil bungkusan hendak diberikan kepada orang itu.
Sebaik saja dia sampai ke rumah orang itu, dia terus melemparkan
bungkusan yang berisi wang kepada si malang tadi lalu meneruskan
perjalanannya. Dalam pada itu, si malang berasa terkejut setelah
mendapati sebuah bungkusan yang tidak diketahui dari mana datangnya,
lantas beliau tergesa-gesa membukanya. Setelah dibuka, nyatalah
bungkusan itu berisi wang dan secebis kertas yang bertulis, " Hai
manusia, sungguh tidak wajar kamu mengeluh sedemikian itu, kamu tidak
pernah atau perlu mengeluh diperuntungkan nasibmu. Ingatlah kepada
kemurahan Allah dan cubalah bermohon kepada-Nya dengan
bersungguh-sungguh. Jangan suka berputus asa, hai kawan, tetapi
berusahalah terus."
Pada keesokan harinya, Imam Abu Hanifah
melalui lagi rumah itu dan suara keluhan itu kedengaran lagi, "Ya Allah
Tuhan Yang Maha Belas Kasihan dan Pemurah, sudilah kiranya memberikan
bungkusan lain seperti kelmarin,sekadar untuk menyenangkan hidupku yang
melarat ini. Sungguh jika Tuhan tidak beri, akan lebih sengsaralah
hidupku, wahai untung nasibku."
Mendengar keluhan itu lagi, maka Abu
Hanifah pun lalu melemparkan lagi bungkusan berisi wang dan secebis
kertas dari luar jendela itu, lalu dia pun meneruskan perjalanannya.
Orang itu terlalu riang sebaik saja mendapat bungkusan itu. Lantas terus
membukanya.
Seperti dahulu juga, di dalam bungkusan itu tetap
ada cebisan kertas lalu dibacanya, "Hai kawan, bukan begitu cara
bermohon, bukan demikian cara berikhtiar dan berusaha. Perbuatan
demikian 'malas' namanya. Putus asa kepada kebenaran dan kekuasaan
Allah. Sungguh tidak redha Tuhan melihat orang pemalas dan putus asa,
enggan bekerja untuk keselamatan dirinya. Jangan….jangan berbuat
demikian. Hendak senang mesti suka pada bekerja dan berusaha kerana
kesenangan itu tidak mungkin datang sendiri tanpa dicari atau
diusahakan. Orang hidup tidak perlu atau disuruh duduk diam tetapi harus
bekerja dan berusaha. Allah tidak akan perkenankan permohonan orang
yang malas bekerja. Allah tidak akan mengkabulkan doa orang yang
berputus asa. Sebab itu, carilah pekerjaan yang halal untuk kesenangan
dirimu. Berikhtiarlah sedapat mungkin dengan pertolongan Allah. Insya
Allah, akan dapat juga pekerjaan itu selama kamu tidak berputus asa.
Nah…carilah segera pekerjaan, saya doakan lekas berjaya."
Sebaik
saja dia selesai membaca surat itu, dia termenung, dia insaf dan sedar
akan kemalasannya yang selama ini dia tidak suka berikhtiar dan
berusaha.
Pada keesokan harinya, dia pun keluar dari rumahnya untuk
mencari pekerjaan. Sejak dari hari itu, sikapnya pun berubah mengikut
peraturan-peraturan hidup (Sunnah Tuhan) dan tidak lagi melupai nasihat
orang yang memberikan nasihat itu.
Dalam Islam tiada istilah
pengangguran, istilah ini hanya digunakan oleh orang yang berakal
sempit. Islam mengajar kita untuk maju ke hadapan dan bukan mengajar
kita tersadai di tepi jalan.
Kamis, 13 September 2012
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
0 komentar:
Posting Komentar